Wednesday, August 8, 2007

Kota A Famosa

Terletak di Bandar Hilir , Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul.

Kota ini merupakan mercu tanda negeri Melaka dan barangkali subjek yang paling banyak di gambarkan bersebelahan dengan Bangunan Stadthuys. Kota ini dibina oleh pihak Portugis pada tahun 1511 sebagai kubu pertahanan dan telah mengalami kerosakan struktur yang agak teruk semasa pencerobohan Belanda.

Pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasa bandar Melaka.

Pihak British telah bercadang untuk memusnahkannya tetapi campurtangan Sir Thomas Stamford Raffles pada tahun 1808 telah menyelamatkan pintu kota, saki-baki apa yang tinggal daripada kota A' Famosa kekal sehingga hari ini.Sekarang A Famosa menjadi tempat pelancongan yang terkenal.

Pembinaan kota dikatakan ilham Alfonso de Albuquerque dalam usaha menguatkan kedudukan Portugis setelah berjaya menumpaskan tentera Melaka pada 1511.

Ratusan hamba abdi dan pesalah telah dipaksa membina bangunan. Ia mempunyai asas kukuh selain dinding tebal, yang dibina dengan runtuhan istana, masjid dan batu nisan. Dilengkapi meriam, kota ini mempunyai 4 pintu dan menjadi simbol ketakutan tempatan.

A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah. Kawasan itu termasuklah Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah & Jalan Istana. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan 5 gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya. Bagaimanapun, kota ini gagal menghalang Belanda pada kurun ke-17. Dengan bantuan rakyat tempatan dan Melayu Johor, serangan telah dilancarkan sebelum Belanda berjaya merampas Melaka.

Kota A Famosa yang musnah dalam pertempuran telah diperbaiki sementara Porta de Santiago yang merupakan pintu utamanya digantikan dengan logo Syarikat Hindia Timur Belanda. Tarikh pintu utama itu turut ditukar kepada tahun 1670. Kedua-dua ini boleh dilihat jelas hari ini. Kota ini mengalami kemusnahan apabila diserang British pada kurun ke-19. Berikutan kejayaan mereka, British telah memusnahkan kota ini sehingga dihalang oleh Sir Stamford Raffles. Bagaimanapun, campur tangan Raffles terlewat kerana cuma bahagian pintu utama, iaitu Porto de Santiago, yang berjaya diselamatkan untuk tatapan generasi hari ini dan akan datang.

Tugu Peringatan Negara

Dikenali sebagai Tugu Negara Malaysia disiapkan 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11 ribu perajurit yang gugur jasa-jasa pahlawan yang gugur dalam Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1935-1942) dan semasa Darurat (1948-1960). Ia terletak di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen.

Pada setiap tahun, 11 November, satu perbarisan hormat akan diadakan di Tugu Negara. Tugu tersebut menggambarkan sekumpulan tentera mengibar bendera negara, Jalur Gemilang. Setiap patung gangsa tersebut melambangkan pimpinan, getir, persatuan, siap sedia, kekuatan, keberanian, dan pengorbanan.

Dibina pada tahun 1966, tugu tersebut berdiri setinggi 15 meter, diperbuat daripada gangsa dan direka oleh pengukir Austria, Felix de Weldon yang bertanggung jawab bagi Tugu Peringatan Perang USMC (USMC War Memorial) di Virginia, Amerika Syarikat




Pada tahun 1975, tugu tersebut mengalami kerosakan teruk akibat letupan yang diletakkan oleh pengganas komunis. Ia kini telah dipulihkan pada keadaan asal.

Tugu Negara terawal merupakan tiang konkrit yang terletak di Jalan Tugu berhampiran bulatan di hadapan Stesyen Kereta api Kuala Lumpur, bersebelahan Masjid Negara. Ia didirikan oleh Pentakbir British bagi memperingati perperangan dan perwira yang terkorban. Kini hanya asasnya tanah seluas 10 meter persegi yang tinggal.

Kompleks Tugu Negara yang ada kini di kawasan Taman Tasik dibuka pada 8 Februari 1966. Ia memasukkan Taman Peringatan sebagai lambang penghormatan negara kepada perwira yang mengorbankan jiwa mereka bagi menjaga keamanan negara Malaysia. Tiang asal dialih ke kpmpleks Tugu Negara kini dan padanya tercatat tarikh tragedi kemanusiaan: Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1939-1945) dan Darurat (1948-1960)

Dataran Merdeka

Dahulunya dikenali sebagai Padang Kelab Selangor terletak dipusat pentadbiran lama Kuala Lumpur. Pada asalnya ia merupakan padang kriket bagi Kelab Selangor (kini Kelab diraja Selangor). Mengelilingi padang tersebut adalah bangunan bersejarah termasuk Bangunan Kelab Diraja Selangor yang terletak di penjuru padang di mana orang-orang penting Kuala Lumpur sering bertemu, Bangunan Sultan Abdul Samad, Muzium Sejarah Kebangsaan, dan Perpustakaan Peringatan yang dibina 1909, kathedral St Mary's Anglican, bangunan stail Gothik yang berusia lebih seratus tahun dan kompleks Dayabumi moden yang menakjubkan.

Di sinilah, di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad, bendera Union Jack diturunkan dan bendera Malaysia dinaikan buat pertama kali pada tengah malam 31 Ogos 1957. Semenjak itu, Dataran Merdeka menjadi tempat perarakan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia setiap tahun sejak 1957. Pelbagai acara diadakan di sini. Antaranya ialah Citrawarna dan Larian Merdeka.

Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan mercu tanda yang paling penting yang dibina oleh pihak British, yang mengadap kearah Dataran Merdeka. Seni bina Moorish yang indah ini siap dibina pada 1897, menjadi pejabat beberapa jabatan penting semasa pentadbiran British.

Tiang bendera setinggi 95-meter, antara yang tertinggi di dunia, menandakan tapak itu dengan kepingan bulat marmar hitam. Ia terletak di bahagian selatan dataran.

Bangunan kayu separuh Tudor dibina pada 1890 dan menjadi tempat menonton perlawanan Kriket pada petang Ahad.

Bangunan Kelab Di raja Selangor stail Tudor, yang dibina pada 1890 jauh berbeza dengan bangunan seni bina Moorish bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak arah bersetentangan dataran.

Dataran Merdeka mempunyai bahagian bawah tanah yang dibangunkan pada tahun 1995. Dataran Merdeka bolehlah dikatakan berfungsi sebagai terowong keselamatan jika terjadi peperangan sebagaimana di Iraq.

Namun begitu pada tahun 1998, Dataran Merdeka ditenggelami air banjir kilat yang melimpah dari Sungai Bonus . Tahun 1971 Kuala Lumnpur turut ditenggelami banjir besar.

Dataran Merdeka tidak lagi digunakan untuk sambutan ulang tahun kemerdekaan kecuali Konsert Menjelang Malam Merdeka.